Operation: Menyelamatkan Sarawak Bumi Kenyalang Tanah Tumpah Darahku

Untukmu Sarawak

Assalamualaikum & Salam 1 Malaysia. Sarawak kini berhadapan dengan satu tsunami baru politik, berhadapan dengan gelombang yang sangat memerbahaya dan sedang menunggu masa untuk meranapkan impian orang Sarawak yang dahagakan pembangunan berterusan. Oleh itu, marilah kita bersama-sama bersatu hati menyelematkan negeri Sarawak yang kita sayangi ini.

Monday, August 2, 2010

Jambatan Trusan Lawas Siap Menjelang Raya

Sumber: Sarawak Update

MIRI – Projek Jambatan Trusan di Lawas yang bernilai RM29.5 juta dijangka dibuka kepada orang ramai menjelang sambutan Hari Raya iaitu September depan.
Projek itu dijadualkan siap pada Disember tahun lepas, namun dilanjutkan sehingga Julai tahun ini dan kali terakhir dilanjutkan sehingga September depan.
Sebelum ini, pengguna dari Sabah, Brunei, Limbang dan Lawas terpaksa menunggu dua hingga tiga jam terutama semasa waktu puncak bagi menyeberangi Sungai Trusan menggunakan feri yang hanya mengambil masa kira-kira lima minit.
Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, kementerian difahamkan oleh kontraktor bahawa projek pembinaan Jambatan Trusan ini akan siap sepenuhnya September nanti.
“Dengan siapnya jambatan ini menjelang Hari Raya, ia akan memudahkan penduduk di Limbang, Lawas dan Sabah untuk melawat sanak-saudara. Pada masa yang sama memudahkan pergerakan pelancong dan penduduk tempatan untuk pergi dari satu tempat ke satu tempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa taklimat Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri hari ini.
Menurut Manyin, Jambatan Trusan sepanjang 420 meter dan keluasan 10.2 meter, ia menghubungkan sepenuhnya Laluan Pan Borneo dari Sarawak menghubungkan Sabah.
Dalam perkembangan lain, semua JKR dan majlis tempatan di Sarawak diminta mengemukakan senarai jalan rendah kualiti untuk dikemukakan kepada Sistem Rekod Maklumat Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi mendapat peruntukan penyelenggaraan.
“Kita akan mengeluarkan surat pekeliling dalam tempoh terdekat bagi memastikan senarai berkenaan dihantar ke Kementerian pada Oktober tahun ini.”
“Laporan penuh itu akan dihantar ke kerajaan persekutuan untuk mendapatkan peruntukan,” katanya.
Manyin menambah, kerajaan Persekutuan memberi kelonggaran untuk memberikan peruntukan untuk jalan raya berukuran 2.4 meter pada tahun ini berbanding sebelumnya hanya untuk jalan berukuran 4.2 meter.
Sebelum ini, jalan berkualiti rendah khususnya jalan kampung di luar dan pinggir serta jalan balak diselenggara menggunakan dana kecil termasuk Pejabat Pembangunan Negeri dan Projek Kecil Luar Bandar.

Wednesday, July 28, 2010

Usah abai tugas di sekolah bila sudah berpolitik

Sumber: Berita Harian

PEMBABITAN guru dalam arena politik tanah air bukanlah sesuatu yang baru. Ketika era sebelum kemerdekaan, guru adalah pemimpin politik yang aktif di pelbagai peringkat, tidak kira di kampung mahupun bandar. Sebagai golongan yang rapat dengan masyarakat, mendidik anak watan dan dianggap terpelajar pada ketika itu, pendapat dan pandangan mereka cukup berpengaruh dan dihormati. Profesion keguruan disanjung tinggi sehingga ke hari ini, walaupun kadang-kadang mereka berdepan dengan pelbagai tohmahan dan cabaran. Keputusan kerajaan membenarkan semula guru atau pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 bergiat kembali dalam arena politik seperti diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, kelmarin tentunya disambut baik semua pihak, khususnya pendidik. Langkah itu membuka peluang kepada mereka bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, berkuat kuasa 1 Ogos ini. Ketika ini, hanya pegawai dalam kumpulan sokongan saja yang boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik memegang jawatan dalam parti, dengan syarat mendapat kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan. Tidak dinafikan, memang ada guru bergiat dalam politik secara diam-diam bagi mengelak sebarang tindakan dikenakan. Ia berdasarkan kepada Peraturan 21(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Dengan kelonggaran ini, 140,000 guru kini dibenarkan aktif dalam politik selepas 17 tahun mereka tidak membenarkan berbuat demikian. Kita percaya ramai di kalangan guru yang berminat mempunyai bakat besar dalam bidang politik tetapi terhalang oleh peraturan yang ditetapkan. Rata-rata guru dalam kategori gred itu berkelulusan tinggi, berpengalaman dan mempunyai banyak idea untuk disumbangkan kepada masyarakat melalui saluran politik. Guru adalah golongan paling rapat dengan generasi muda iaitu murid dan pelajar di sekolah. Keadaan itu membolehkan mereka menyampaikan mesej, dasar serta aspirasi negara dengan lebih mudah. Guru juga lebih dekat dengan masyarakat dan dapat melaksanakan serta merancang pelbagai aktiviti bersama penduduk setempat.

Bagaimanapun, kebenaran yang diberikan tidak bermakna mereka boleh mengabaikan tugas hakiki sebagai pendidik. Guru harus sentiasa bersikap profesional dalam menjalankan tanggungjawab dan tidak terbawa-bawa dengan kecenderungan berpolitik hingga ke sekolah. Kita bimbang, jika terlalu ghairah berpolitik dan gagal mengimbangi keadaan ini, yang akan rugi adalah pelajar dan anak bangsa sendiri. Mereka juga tidak wajar menghasut atau mempengaruhi pelajar supaya menyokong mana-mana parti. Sikap mencampuradukkan politik dengan tugas sebagai pendidik akan menjejaskan pelajaran pelajar dan masa depan mereka. Jika itu berlaku, ibu bapalah yang paling runsing dan kecewa. Walau apapun pegangan dan fahaman politik seseorang guru, mereka perlu melaksanakan agenda kerajaan atau pemerintah semasa. Jika ia gagal dilaksanakan akibat terlalu ghairah berpolitik, agenda pembangunan mungkin tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan. Guru dilihat sebagai golongan yang memiliki integriti. Selain itu, kita juga tidak mahu profesion guru tercemar dengan gejala politik wang serta perebutan jawatan secara keterlaluan.

Tuesday, July 27, 2010

PM Umum Dua Inisiatif Urus Tanah NCR

Sumber: Sarawak Update

Kerajaan Persekutuan dan Sarawak bersetuju untuk memperkenalkan dua inisiatif bagi menguruskan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Beliau berkata, inisiatif itu bagi memberikan jaminan pemilikan tanah NCR kepada rakyat Sarawak dengan harapan ini akan meningkatkan pendapatan dan membawa kesejahteraan ekonomi kepada pemilik tanah tersebut.

Najib berkata, inisiatif pertama ialah usaha untuk mengenalpasti sempadan sempadan tanah NCR di seluruh Sarawak bagi pengukuran keseluruhan ataupun ‘onblock’.

“Tujuan pengukuran onblock adalah untuk mengasingkan tanah NCR yang sahih daripada tanah kerajaan. Jabatan Tanah dan Survey akan menghantar juruukurnya untuk menjalankan survey perimeter ke atas tanah NCR yang telah dikenalpasti.”

“Seterusnya tanah NCR tersebut akan diwartakan sebagai reserve gunasama bumiputera di bawah Seksyen Enam Kanun Tanah Negeri. Ini merupakan hasil perlaksanaan atau KPI bagi langkah yang pertama. Tujuannya ialah untuk memastikan penuntut tanah NCR mempunyai hak milik ke atas tanah yang diwartakan.”

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Program Sentuhan Harapan Petronas di Senadin petang tadi.

Serentak dengan itu, Najib meluluskan perbelanjaan sebanyak RM20 juta untuk menjalankan survei perimeter bagi tanah NCR.

Katanya, satu pejabat pengurusan penyampaian (DMO) akan ditubuhkan untuk menyelia dan memantau perlaksanaan inisiatif baru ini.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana dapat bersetuju di atas langkah yang saya percaya akan mendapat sambutan yang hangat di kalangan rakyat bumiputera Sarawak .”

Langkah kedua pula melibatkan komuniti pemilik NCR bagi menentukan sempadan tanah antara mereka dalam kawasan yang telah diwartakan.

”Ini adalah untuk membolehkan jabatan tanah dan survei menjalankan survei secara terperinci dan seterusnya mengeluarkan surat hak milik tanah secara individu kepada pemilik tanah.”

“Surat hak milik tanah ini akan dikeluarkan di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri ini merupakan hasil perlaksanaan atau KPI. Pengagihan dan pembagunan tanah NCR adalah isu amat penting bagi golongan bumiputera Sarawak.”

Najib berharap inisiatif ini akan membuka satu langkah positif ke hadapan untuk membolehkan penyelesaian isu ini secara pintas dan transformasi kawasan bandar dilakukan dan pemilik tanah menikmati pednapatan yang lebih banyak.

“Inisiatif ini akan bermula menjelang akhir tahun ini dan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMK10),” katanya.

Isu berhubung NCR ini telah dihalusi secara mendalam oleh satu makmal Goverment Transformation Program (GTP) bumiputera Sabah dan Sarawak yang telah diadakan di Kuching dan Kota Kinabalu pada bulan Mac tahun ini.

RMK10 Fokus Pembangunan Prasarana Sarawak

Sumber: Sarawak Update

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak optimis Sarawak akan terus mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat sekaligus muncul sebagai negeri maju walaupun berhadapan dengan kekangan kemudahan.

Beliau berkata, pada masa ini kemajuan ekonomi di negeri ini masih belum mencapai tahap yang sebenar kerana rangkaian pengangkutan yang tidak mencukupi, sekolah yang kekurangan pendanaan dan bekalan perkhidmatan yang tidak mencukupi.

“Namun saya kagumi Sarawak kerana negeri ini telah mengalami pertumbuhan yang sungguh mengesankan. Sehubungan ini, Sarawak akan terus diberi bantuan kerajaan untuk mencapai potensi yang sebenarnya,” katanya.

Najib berkata demikian pada majlis makan malam Pemimpin Bersama Rakyat di Stadium Tertutup Miri malam tadi.

“Oleh sebab itu saya telah memperluas bantuan kewangan kerajaan Pusat kepada pihak berkuasa tempatan di Sarawak dan melalui lawatan, saya dapat melakukan keputusan langsung mengenai bantuan yang patut diberi di kawasan yang dilawati.”

“Dana serta pelaburan masa hadapan akan disampaikan secepat mungkin di kawasan yang memerlukan bagi digunakan melaksanakan projek prasarana, bekalan perkhidmatan oleh pihak berkuasa tempatan serta untuk penambahbaikan peluang pendidikan terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.

Ujar Najib, Kerajaan Pusat dan Negeri melalui Rancangan Malaysia ke-10 telah melakar dan mengenalpasti isu serta inisiatif yang mampu melonjakkan Sarawak dengan kelengkapan kemudahan asas, pendidikan dan perniagaan yang kesannya akan dirasai bermula tahun hadapan.

Namun untuk melaksanakan semua rancangan itu, negara memerlukan pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya enam peratus setiap tahun agar lebih banyak pelaburan dari negara asing dapat masuk dengan pendapatan itu dapat digunakan membina lebih banyak jalan.

PM Janji Segerakan Pembinaan Jalan Beluru – Lapok

Sumber: Sarawak Update

Kesengsaraan penduduk Baram yang menggunakan Jalan Beluru- Lapok, salah satu jalan yang paling kontroversi di negara ini berakhir apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukann sebanyak RM100 juta untuk menaiktaraf jalan tersebut.

Pengumuman gembira itu diumumkan oleh beliau dihadapan kira-kira 3,000 penduduk Orang Ulu dan Dayak pada majlis Pemimpin bersama Rakyat di Long Banga, 10 jam perjalanan melalui jalan balak dari Miri.

“Saya akan pastikan projek ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi oleh penduduk Baram berikutan keadaan jalan yang terlalu teruk,” katanya.

Jalan Lapok sepanjang 42 kilometer antara Beluru dan Pekan Lapok itu merupakan satu-satunya jalan yang menghubungkan lebih 1,000 penempatan etnik Orang Ulu, Iban dan Penan.

Menurut Najib langkah untuk menaiktaraf Jalan Lapok ini sejajar dengan semangat 1Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Pada majlis yang sama, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM7.5 juta bagi menjalankan projek mini hidro (RM6 juta) dan akses jalan ke padang terbang (RM1 juta) dan RM500,000 lagi untuk Projek Klinik Bergerak Long Jekitan.

Beliau turut mengumumkan bantuan kewangan di bawah Skim Penanaman Semula Getah di Sarawak turut dinaikan ke RM14,000 berbanding sekarang RM10,000.

Katanya, peruntukan ini adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan untuk memastikan rakyat di pedalaman tidak terus terpinggir dan sama-sama mengecapi pembangunan seperti di bandar.

 
MMORPG Games - MMORPG List - Video Game Music